In the name of Allah, The Most Gracious and The Most Merciful
Alhamdulillah.Segala Puji bagi Allah swt Tuhan sekalian alam, serta selawat dan salam ke atas nabi junjungan Nabi Muhamad serta keluarga dan sahabat baginda.
Baru-baru ini saya ada menanyakan khabar berita kepada seorang rakan sekolah melalui Yahoo Messenger (YM). Dalam perbualan kami, beliau ada menyatakan cadangan untuk saya membincangkan mengenai aurat dan wanita. Walaupun perkara ini sangat ‘cliché’ untuk dibahaskan, mungkin ada sesetengah pihak yang masih lagi tidak tahu, tidak mahu ambil tahu, atau buat-buat tidak tahu tentang perkara ini. Dan demi menjawab persoalan beliau, maka disini saya hanya berkongsi pendapat yang tidak seberapa mengenai perkara ini.
Dalam masyarakat kita hari ini, kita lihat wanita-wanita kebanyakannya telah bertudung atau lebih tepat lagi telah ramai yang menutup rambut dengan selendang, tudung bawal, tudung Ekin, tudung Mawi dan sebagainnya. Perubahan yang positif apabila semakin ramai yang menyedari kewajipan menutup rambut, yang mana sepatutnya disokong oleh masyarakat Islam khususnya. Mereka sedar bahawa rambut merupakan SEBAHAGIAN dari aurat yang sepatutnya dilindungi dari pandangan lelaki ajnabi.
Walaubagaimanapun, melihatkan keadaan masyarakat pada hari ini, seolah-olah penutupan aurat hanya terhad kepada pemakaian tudung kepala sahaja dan seolah-olah dibolehkan memakai tudung kepala, tetapi berskirt paras betis, berbaju T lengan pendek, berbaju singkat, ketat dan sendat dan disertai dengan hiasan yang berlebih-lebihan.
Bagaimana pula anjuran Islam yang menetapkan bahawa aurat wanita yang patut ditutup merupakan seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan? Juga disertai dengan tingginya akhlak dan budi bahasa dalam membawa diri dalam masyarakat. Maka, dari mana datangnya bahawa menutup aurat hanya sekadar menutup rambut?
Ya, saya tidak nafikan ada segelintir pihak yang apabila ditegur akan mengatakan, “belum mampu” atau pun “mula dulu sikit-sikit, mana boleh berubah terus mendadak” tidak kurang juga yang menjawab, “walaupun tutup aurat, fesyen tetap kene ikut..baru ikut trend” (hm..pulak) Tidak kurang juga yang memakai tudung sekali sekala megikut acara dan tempat. Tudung hanya dikenakan untuk ke kelas atau tempat kerja, ke majlis khatam al-Quran atau majlis tahlil dan kenduri doa selamat, surau dan masjid.
Bagi saya, mereka ini belum benar-benar menghayati kepentingan memakai tudung yang sepatutnya bertujuan menutup aurat dan seterusnya memelihara diri si pemakai dari melakukan perkara mungkar. Saya juga tidak menafikan ada juga yang bertudung tetapi tetap duduk berdua-duaan dengan bukan mahram, berzina dan juga melakukan perkara-perkara maksiat. Maka di sini, bukan salah tudung, tetapi salah si pemakai yang membawa fitnah atas erti kata pemakaian tudung yang sebenar kerana tudung lebih bertindak sebagai memenuhi kehendak fesyen, adat dan kebiasaan.
Pernahkah kita berfikir atau mengambil tahu mengapa wanita beriman disuruh Allah untuk memelihara auratnya? (Disini ditekankan, aurat BUKAN hanya terhad kepada rambut sahaja TETAPI seluruh tubuh badan termasuk AKHLAK dan TINGKAH LAKU)
Tentu sekali bagi memelihara wanita-wanita daripada pandangan-pandangan liar lelaki-lelaki di luar sana yang berajakan nafsu dalam diri mereka. Suka melihat wanita merupakan fitrah semulajadi kaum adam. Walaupun kaum adam dituntut menjaga pandangan, tetapi seramai manakah lelaki normal yang benar-benar mampu untuk menjaga iman daripada melihat wanita tanpa ada sebarang perasaan yang memungkinkan?
Wahai saudaraku mereka bukan kayu atau batu yang tidak mempunyai perasaan…
Seringkali juga kita dengar lelaki mempertahankan tindakan mereka, “dah orang bagi tengok, tengok je la..”
Ada benarnya kenyataan lelaki seperti ini. Lelaki yang normal memang telah diketahui akan fitrah semulajadi mereka, maka golongan wanita sepatutnya membantu mereka bagi memelihara iman mereka. Jangan lah kita dengan sengajanya bertindak sebagai perosak iman seseorang. Nauzubillah…
Kadang-kadang hendak tergelak juga rasanya apabila ada wanita yang marah-marah apabila ada lelaki yang sangat expressive dan menunjukkan sifat mata keranjang mereka terhadap wanita itu atau pun ada lelaki yang berani ‘tegur depan-depan.’ Kalau dalam hal sebegini, saya mungkin akan berpihak pada lelaki itu. Bagi wanita itu, tahu pula hendak marah, tetapi tidak pelihara diri sebaiknya. Orang sebegini hanya mengharapkan sebelah pihak untuk menunaikan tanggunngjawab, tetapi diri sendiri mengabaikannnya.
Kita mungkin bangga kerana dapat mempamerkan keindahan tubuh. Tetapi,fikirkanlah adakah itu nilai kita? Membolehkan sesiapa sahaja melihat tanpa ada sedikit pun price value dalam diri. Sekiranya kelak kita sudah berumah tangga, adakah lagi nilai istimewa yang tinggal dalan diri untuk dipersembahkan buat suami yang kononnya kita cintai setengah mati, sedangkan semuanya telah dipertontonkan buat khalayak? Atau mahukah kita menyerahkan diri yang telah tercemar dek pandangan mata orang lain selain dari suami sendiri?? Fikir-fikirkan…..
Bagi yang telah bertudung litup dan menutup seluruh tubuh dengan sempurna, syabas buat anda. Semoga anda istiqamah..
Walaubagaimanapun, tutup seluruh tubuh sahaja tidak memadai tanpa pemeliharaan akhlak dan tingkah laku yang sebenar-benarnya. Ada juga yang bertudung labuh, tetapi bertepuk tampar dengan lelaki, masih lagi keluar berdua-duaan dengan kekasih dan lebih hebat lagi, bertudung labuh kerana hendak menyembunyikan perut yang semakin membesar.
Dari segi pemakaian bagi menutup seluruh tubuh termasuk memakai stoking dan sarung lengan memang boleh dijadikan contoh, tetapi perilaku dan akhlak golongan sebegini boleh mendatangkan fitnah ke atas golongan wanita lain yang benar-benar memelihara diri dari segi luaran dan dalamannya. Bagi saya, mereka merupkan contoh bagi masyarakat yang mungkin ingin berubah kepada yang lebih baik.
Maka, di sini saya menyeru diri saya sendiri, sahabat-sahabat, saudara-saudara seagama ku, baik lelaki atau wanita, tundukkan pandangan kita semua, bagi memelihara diri daripada godaan nafsu serta fitnah akhir zaman ini.
Bagi kaum ku, peliharalah aurat kita semua sebaik-baiknya dari segi penampilan seterusnya akhlak kerana “seindah hiasan di dunia adalah wanita solehah”.
Yang baik datangnya dari Allah swt, yang buruk dari kekurangan saya sendiri.
“Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat”
Wallahualam. .
No comments:
Post a Comment